TAJUK : PATI IKAN HARUAN VS IKAN
“Doktor..”
“Ya”. Aku sahut panggilan itu sambil mengangkat wajahku untuk melihat gerangan yang memanggilku.
“Bagus tak kalau saya bagi anak saya makan ni?” ujar seorang wanita berusia 40 an sambil tersenyum. Aku kenal wanita itu.Dia merupakan ibu kepada pesakitku yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan tulang paha ( femur) .
Dia menghulurkan kotak kecil berwarna hijau.
Aku sambut kotak kecil yang dihulurkan. Tertulis “Pati ikan haruan” di situ.Aku pandang sambil tersenyum ke arah wanita itu.
“Puan.Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kerana sebagai seorang doktor, saya tidak menggalakkan pengambilan mana-mana produk kesihatan dari luar.”
Mati senyuman di bibir wanita itu. Mungkin terkejut dengan pernyataanku.
Aku sambung lagi kata-kataku.
“Tetapi, Saya juga tidak menghalang puan untuk mengambilnya.Kerana itu hak puan.”
“Doktor, memang ramai orang ambil produk ni.Bagus.Luka cepat sembuh.” Jelasnya lagi , cuba untuk meyakinkan aku.
“ Saya minta maaf puan.Jawapan saya masih sama. Saya tidak menggalakkan pengambilan produk kesihatan luar.Kerana kebanyakkan produk ni telah diproses dan kita tidak tahu bahan kimia apa yang terkandung di dalamnya.” ujarku lagi. Aku berharap dia faham mengenai apa yang aku cuba sampaikan.
“Jadi ada tak apa-apa saranan pemakanan yang dapat membantu proses pembaikpulih tulang dan luka anak saya doktor,” soal wanita itu lagi ingin tahu.
Aku senyum.Inilah soalan yang aku tunggu sebenarnya.
“Puan boleh bagi dia makan makanan yang kaya dengan protein, kalsium, vitamin C dan vitamin K. Sumber protein terkandung di dalam ikan, daging, ayam dan kekacang. Kalsium pula tinggi di dalam produk yang berasaskan susu. Vitamin C pula terkandung di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Manakala vitamin K pula terdapat di dalam sayur-sayuran hijau yang berdaun seperti kubis bunga, sayur sawi dan macam-macam lagi.”
“Terima kasih doktor. Saya minta maaf ambil masa doktor.” Wanita itu mengucapkan terima kasih sambil menyalamiku.
“Tak apa puan.Saya gembira dapat bantu puan” balasku sambil tersenyum
Wanita itu bergerak meninggalkanku. Aku terus menyambung kerjaku, cuba menyiapkan nota discaj pesakitku yang akan keluar hari ini.Selesai menulis nota discaj, aku capai preskripsi ubat. Ketika aku sedang menulis preskripsi ubat, Ibu pesakitku tadi muncul semula di hadapanku. Dia menayangkan kotak kecil pati ikan haruan itu lagi.
“Tapikan doktor, kiranya pati ikan haruan ni sumber protein lah kan?”
“Ya betul puan. Cuma kita tidak pasti kaedah pemprosesan dan bahan kimia apa yang digunakan ketika memproses pati tu.Sebab itu saya lebih menggalakkan puan bagi anak makan ikan segar.Ikan apa-apapun boleh. Tidak semestinyanya ikan haruan.Semua ikan merupakan sumber protein. ”Jelasku panjang lebar.
“Baru saya faham. Terima kasih doktor. Semoga Allah permudahkan urusan doktor”
“Sama-sama puan.Semoga anak puan cepat sembuh.”ujarku pula.
P/S: Semoga cerita yang ku garapkan ini memberi manfaat kepada para sahabat. Cerita ini adalah dimanipulasikan sedikit dari cerita sebenar. Selamat membaca.

No comments:
Post a Comment