Monday, 12 January 2015

 













 


TAJUK : PATI IKAN HARUAN VS IKAN

“Doktor..”

“Ya”. Aku sahut panggilan itu sambil mengangkat wajahku untuk melihat gerangan yang memanggilku.

“Bagus tak kalau saya bagi anak saya makan ni?” ujar seorang wanita berusia 40 an sambil tersenyum. Aku kenal wanita itu.Dia merupakan ibu kepada pesakitku yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan tulang paha ( femur) .

Dia menghulurkan kotak kecil berwarna hijau.
Aku sambut kotak kecil yang dihulurkan. Tertulis “Pati ikan haruan” di situ.Aku pandang sambil tersenyum ke arah wanita itu.

“Puan.Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kerana sebagai seorang doktor, saya tidak menggalakkan pengambilan mana-mana produk kesihatan dari luar.”

Mati senyuman di bibir wanita itu. Mungkin terkejut dengan pernyataanku.

Aku sambung lagi kata-kataku.
“Tetapi, Saya juga tidak menghalang puan untuk mengambilnya.Kerana itu hak puan.”

“Doktor, memang ramai orang ambil produk ni.Bagus.Luka cepat sembuh.” Jelasnya lagi , cuba untuk meyakinkan aku.

“ Saya minta maaf puan.Jawapan saya masih sama. Saya tidak menggalakkan pengambilan produk kesihatan luar.Kerana kebanyakkan produk ni telah diproses dan kita tidak tahu bahan kimia apa yang terkandung di dalamnya.” ujarku lagi. Aku berharap dia faham mengenai apa yang aku cuba sampaikan.

“Jadi ada tak apa-apa saranan pemakanan yang dapat membantu proses pembaikpulih tulang dan luka anak saya doktor,” soal wanita itu lagi ingin tahu.

Aku senyum.Inilah soalan yang aku tunggu sebenarnya.

“Puan boleh bagi dia makan makanan yang kaya dengan protein, kalsium, vitamin C dan vitamin K. Sumber protein terkandung di dalam ikan, daging, ayam dan kekacang. Kalsium pula tinggi di dalam produk yang berasaskan susu. Vitamin C pula terkandung di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Manakala vitamin K pula terdapat di dalam sayur-sayuran hijau yang berdaun seperti kubis bunga, sayur sawi dan macam-macam lagi.”

“Terima kasih doktor. Saya minta maaf ambil masa doktor.” Wanita itu mengucapkan terima kasih sambil menyalamiku.

“Tak apa puan.Saya gembira dapat bantu puan” balasku sambil tersenyum

Wanita itu bergerak meninggalkanku. Aku terus menyambung kerjaku, cuba menyiapkan nota discaj pesakitku yang akan keluar hari ini.Selesai menulis nota discaj, aku capai preskripsi ubat. Ketika aku sedang menulis preskripsi ubat, Ibu pesakitku tadi muncul semula di hadapanku. Dia menayangkan kotak kecil pati ikan haruan itu lagi.

“Tapikan doktor, kiranya pati ikan haruan ni sumber protein lah kan?”

“Ya betul puan. Cuma kita tidak pasti kaedah pemprosesan dan bahan kimia apa yang digunakan ketika memproses pati tu.Sebab itu saya lebih menggalakkan puan bagi anak makan ikan segar.Ikan apa-apapun boleh. Tidak semestinyanya ikan haruan.Semua ikan merupakan sumber protein. ”Jelasku panjang lebar.

“Baru saya faham. Terima kasih doktor. Semoga Allah permudahkan urusan doktor”

“Sama-sama puan.Semoga anak puan cepat sembuh.”ujarku pula.

P/S: Semoga cerita yang ku garapkan ini memberi manfaat kepada para sahabat. Cerita ini adalah dimanipulasikan sedikit dari cerita sebenar. Selamat membaca.

Tuesday, 21 January 2014

KERANA KAU ISTERIKU


Bab 1

Razziah mengamati ukiran inai di tangannya lama. Kemudian, Matanya dialihkan kepada sebentuk cincin bertatah sebutir berlian kecil yang terletak cantik di jari manisnya. Cincin itu dipicitnya geram. Dia menanggalkan cincin itu dan meletakkannya di dalam kotak kecil baldu miliknya. Kotak itu seterusnya dimasukkan ke dalam laci almari meja soleknya. Razziah sedar, sekarang tiada guna lagi dia menangis. Kalau dia menangis air mata darah sekalipun, dia tidak dapat mengubah takdir. Dua jam yang lepas, dia telah pun sah menjadi isteri kepada Syed Haikal. Kenyataan yang benar tetapi amat menyakitkan. Dia kecewa dengan sikap Tengku Zafran yang tidak berusaha untuk memenangi hati papa dan mamanya. 

Dia memerhatikan figuranya di cermin. Dia membuka mahkota kecil dan veil yang berada di atas tudung.Kemudian, dia meletakkannya di atas katil pengantin yang bercadar rona putih bersih. Dia memerhatikan bilik pengantinnya yang dihias indah. Dia sepatutnya rasa bahagia di hari perkahwinannya tetapi kini dia tidak rasa apa-apa.

Dia geram mengenangkan lelaki itu masih meneruskan pernikahan dengannya walaupun berulang kali Razziah menyatakan ketidak relaannya. Lelaki itu buat-buat tidak faham. Hanya satu azam dipasangkan di dalam hatinya.Buatkan lelaki yang tidak faham bahasa itu sengsara.As you wish it, Syed Haikal! No matter what, I’ll never follow your order ! Kau memang pentingkan diri! Dia bermonolog sendirian.

Bunyi pintu biliknya diketuk. Razziah buat tak tahu. Setelah tiga ketukan berbunyi, pintu bilik terbuka. Lelaki itu masuk lengkap berbaju Melayu berwarna putih  dan bersongkok. Razziah pura-pura mencari sesuatu di dalam laci almari mekapnya. Dia malas mahu memandang lelaki itu.

“Sayang, petang ni kita balik rumah abang ya.”

Sayang? Pergi mampus dengan sayang kau tu. Aku tak inginlah!Dia memaki hamun Syed Haikal di dalam hati tetapi pada zahirnya, Razziah hanya mendiamkan diri.Dia malas hendak bertikam lidah dengan lelaki itu lagi.

“Kalau sayang tak nak ikut,abang tak paksa.Tapi abang kena balik petang ni jugak sebab abang ada meeting dengan client. Abang dah janji dengan diorang.” sambung Syed Haikal lagi.

Tahu pun aku tak ingin ikut kau! Lagi cepat kau pergi lagi bagus.Buat semak je kat sini. Razziah menyisir rambutnya setelah membuka hijab yang menutupi kepala.

“Beg baju abang mana?” soalnya lagi.Razziah bertemu pandang dengan Syed Haikal di dalam cermin. Razziah mengalihkan pandangannya.Manalah aku tahu.Sendiri bawa,sendiri simpanlah.Tak kuasa aku nak melayan.

“Oh, kat sini rupanya!” jawab Syed Haikal,sendiri.Dia tahu yang Razziah mengelak untuk bercakap dengannya. Dia cuba untuk menciptakan suasana ceria di bilik itu.Bercakap sendiri pun bolehlah.

“Abang mandi dulu ya. Kalau sayang nak ikut bersiaplah.Papa dan mama benarkan abang bawa balik sayang.”

Ni memang sengaja cari gaduh ke apa? Aku tak nak ikut kau lah.Aku rasa macam nak belasah je dia ni sampai lembik. Ambik kau! Lepas tu, mesti jadi heading newspaper. Isteri belasah suaminya sampai lembik selepas selesai majlis pernikahan.Astaghfirullah.Jauh pula imaginasi aku ni. Razziah... sabar ya,senjata yang paling baik untuk Razziah adalah ‘Silence'.

Dia melepaskan keluhan dari bibirnya. Dia cuma memerhatikan Syed Haikal mengambil tuala mandi dan terus beredar ke bilik air.